Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Tual Suan Khual, 33, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengaibkan kehormatan dengan tujuan untuk mengganggu kesantunan pelajar kolej warga Turkmenistan berusia 23 tahun itu dengan cuba memegangnya sambil menyebut perkataan lucah.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapnya pada 31 Januari lalu.

Mengikut fakta kes, ketika pelajar itu berada di hadapan sebuah restoran, dia mendengar seorang lelaki iaitu tertuduh memanggilnya dengan perkataan lucah, lalu mangsa terus menelefon polis dan tertuduh telah ditangkap di tempat kejadian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah restoran di Jalan SS 15/8A, Subang Jaya, di sini, pada 10 malam, 30 Januari lalu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran, kerana kejadian itu mendatangkan trauma kepada mangsa.

“Kejadian ini seharusnya dianggap serius kerana tertuduh membuat kekecohan di tempat awam. Dia sebagai warga asing sepatutnya menghormati undang-undang negara kita,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh merayu hukuman ringan atas alasan kejadian itu tidak mendatangkan mudarat kepada mangsa. - BERNAMA