Ketua Unit Tuntutan dan Saraan, bahagian Kewangan Jabatan Perdana Menteri, Natasha Rahimah Haryati Mohamad, 47, berkata, bayaran tersebut diterima pada Mei 2018.

Beliau berkata, elaun khas itu telah dibayar kepada Najib melalui akaun Affin Bank miliknya bernombor 100040014008.

"Untuk Mei 2018, memang ada satu pemberian khas dibuat mengikut Akta Ahli Parlimen (saraan) 1980 sebanyak RM1 juta dibayar sekali sahaja setelah Perdana Menteri bersara.

"Bayaran tersebut telahpun dibayar dengan dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank milik Datuk Seri Najib," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dalam perbicaraan hari pertama melibatkan Ahli Parlimen Pekan itu berhubung dana 1MDB.

Saksi pendakwaan ke dua itu turut memberitahu bahawa jumlah gaji kasar yang diterima Najib bagi setiap bulan bermula April 2009 hingga Mei 2018 ialah sebanyak RM58,605.15.

Gaji tersebut, menurut Natasha Rahimah turut dibayar melalui akaun bank Affin milik Najib.

Pada 20 September 2018, Najib mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Beliau juga didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah masih diteruskan. - UTUSAN ONLINE.