Bekas Pegawai Khas Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kali pertama dia bertemu dengan ahli perniagaan dalam buruan tersebut di Pulau Pinang.

Saksi itu berkata, dalam pertemuan kali pertama itu, Jho Low atau lebih mesra dipanggil Jho banyak bercerita tentang Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarga bekas Perdana Menteri itu.

“Ya, Najib kenal Jho lebih dahulu daripada saya kenal Jho sebab masa pertama kali jumpa dia dah cakap pasal Najib.

“Waktu itu, dia asyik bercakap mengenai Najib atau keluarganya. Ia mencerminkan bahawa Jho Low telah mengenali Najib sejak sekian lama,” katanya.

Saksi tersebut berkata demikian bagi menjawab soal balas daripada peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari keenam perbicaraan kes Najib yang didakwa atas 25 pertuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram.

Pada 20 September 2018, Najib mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Beliau juga didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion.

Perbicaraan sesi soal balas terhadap Amhari Afendi masih berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. - UTUSAN ONLINE.