Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Husain, 54, berkata, perkara tersebut dinyatakan Najib ketika memberi keterangan kepada pihaknya.

Ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, bekas Perdana Menteri juga menyatakan jumlah pembelian barangan kemas itu juga yang dinilaikan sebanyak RM3.3 juta.

"Itu dakwaan Datuk Seri Najib. Beliau juga terangkan jumlah digunakan seperti mana hasil siasatan," katanya ketika menjawab soalan peguam Farhan Read yang mewakili Najib dalam perbicaraan hari ke-57 berhubung penyelewengan dana SRC International hari ini.

Saksi pendakwaan ke-57 itu juga mengesahkan Ahli Parlimen Pekan itu menyatakan barangan kemas itu adalah untuk hadiah kepada pemimpin luar negara yang telah mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia.

Farhan kemudian menunjukkan surat penghargaan yang didakwa daripada isteri Perdana Menteri Qatar, Noor Abdulaziz Abdulla Turki Al-Subaie kepada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Bagaimanapun saksi tidak pernah melihat surat bertarikh 15 Ogos 2014 berkenaan, malah Rosmah juga tidak pernah membangkitkan perkara itu ketika memberi keterangan kepada SPRM.

Keterangan mengenai transaksi kad kredit berkenaan dikemukakan dalam perbicaraan sebelum ini oleh Naib Presiden Kanan Kumpulan Ambank, Yeoh Eng Leong, 58.

Penyata kad kredit bekas Perdana Menteri itu menunjukkan wang berjumlah RM2.86 juta dibelanjakan di butik barangan kemas itu menggunakan kad kredit Mastercard Ambank miliknya.

Bagi kad kredit Visa Ambank pula, menunjukkan dua transaksi pembayaran yang berjumlah RM456,360.51.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali bersambung petang ini. - UTUSAN ONLINE.