Panel lima hakim diketuai Yang Arif Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin sebulat suara membenarkan rayuan Koperal Jusninawati Abdul Gani untuk mengenepikan sabitan dan hukuman ke atasnya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Disember 2016, menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas polis wanita itu dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan di sini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja tidak memberi sebarang maklumat berkenaan kesalahan yang dipercayai perbuatan keganasan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 130JA Kanun Keseksaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, antara Ogos 2015 dan Mac 2016.

Jusninawati didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Menurut Peguamnya, Farida Mohammad, mahkamah berpendapat Seksyen 13(1)(a) Kanun Prosedur Jenayah tidak merangkumi kesalahan di bawah Seksyen 130JA Kanun Keseksaan, sebelum seksyen berkenaan dipinda.

Oleh itu katanya, mahkamah berpendapat, pertuduhan ke atas tertuduh adalah di bawah peruntukan undang-undang yang non existence (tidak wujud).

Mahkamah juga berpendapat, hukuman yang bersandarkan kepada Seksyen 20 dan Seksyen 30 Akta Polis serta Seksyen 103 dan 104 Kanun Prosedur Jenayah adalah misconcieved (salah anggap.)

Sementara itu, Jusninawati ketika ditemui Utusan Malaysia melahirkan rasa syukur dengan keputusan mahkamah tersebut.

“Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana ini semua kudrat Dia, kekuasaan Dia. Hanya Dia yang mengetuai segala yang ghaib, saya tak tahu, saya hanya berserah diri kepadaNya. Sebagai seorang hamba yang sangat lemah, saya sangat-sangat besyukur kepada Allah kerana bantuan Dia menghantar bantuan dalam bentuk makhluk di mahkamah, membela saya di saat tak ada orang yang membela saya.

“Saya amat bersykur kepada Allah dan terima kasih kepada semua. Saya sangat gembira kerana dapat kembali bersama anak-anak dan keluarga. Saat-saat inilah yang saya nantikan sejak ditanggap 22 Mac 2016. Selama itu saya berjauhan dengan anak-anak,” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, ibunya, Junaidah Hasssan, 65, turut melahirkan saya syukur dan menitiskan air mata di atas pembebasan anak bongsunya itu.

“Saya bersyukur, siang malam dan setiap kali solat saya berdoa agar dia dibebaskan,” katanya. - UTUSAN ONLINE