Tertuduh S. Vigane Swaran, 52; S. Mangaswaran, 37; S. Sivakumar, 37; M. Arin, 25, dan A. Yeohvan Louis, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil kepada mereka di hadapan Majistret V. Vanita.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh dengan sengaja telah menghalang tugas Sarjan Yusof Md. Medak daripada menjalankan fungsi jawatannya dengan membuat pemeriksaan pada bahagian bonet kenderaan polis MPV NS 357.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Chung Hwa Rantau dalam daerah Seremban kira-kira pukul 6 petang pada 13 April lalu.

Tuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hazeelia Muhammad.

Vigane Swaran, Mangaswaran dan Sivakumar diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Farzana Sahudin manakala peguam V. K. Indran mewakili Arin dan Yeohvan Louis.

Majistret kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan kes itu disebut semula pada 31 Julai ini.

Dalam kejadian pada hari pengundian PRK DUN Rantau 13 April lalu, lima lelaki terbabit bertindak menahan dan memeriksa MPV polis di hadapan pusat mengundi di SRJKC Chung Hua, Rantau.

Mereka meminta anggota polis membuka but kenderaan tersebut kerana menyangka ia membawa kertas lebihan undi dan anggota polis terpaksa memenuhi permintaan mereka untuk mengelak kekecohan. -UTUSAN ONLINE