Tertuduh, Mohd. Salimie Baharudin, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Shah Wira Abdul Halim.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memperdaya seorang wanita berhubung proses pembekuan aset Istana Negeri Sarawak sehingga mangsa memasukkan sejumlah wang RM100,000 secara peringkat ke beberapa akaun.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah lokasi yang beralamat di No. 2, Jalan P10B/11, Presint 10 di sini pada 1 Ogos lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan juga memerintahnya menyerahkan pasport kepada mahkamah serta menetapkan tarikh 17 September ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd. Apandi manakala tertuduh diwakili peguam Noor Svetlana Mohd. Noor Noordin.

Memetik laporan media pada 8 Ogos lalu, polis menahan tertuduh selepas dia memperdaya seorang wanita dalam urusan membeli aset Istana Sarawak dengan menyamar sebagai Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dia ditahan di Temerloh, Pahang selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa isterinya kerugian RM100,000 akibat ditipu tertuduh.

Hasil siasatan polis mendapati individu berkenaan juga mendakwa mempunyai gelaran Datuk Seri itu menawarkan pembelian aset Istana Sarawak bernilai RM1.8 juta yang dibekukan oleh pihak kastam.

Mangsa dikatakan telah membuat pembayaran RM50,000 secara tunai kepada seorang anggota polis bantuan berpangkat Asisten Superintenden selaku orang tengah

manakala baki bayaran dimasukkan secara berperingkat ke dalam akaun bank diberikan suspek.

Menurut polis, suspek mendakwa bayaran tersebut akan diberikan kepada pihak kastam sekali gus dapat menyelesaikan masalah pembekuan aset itu dalam tempoh dua minggu.-UTUSAN ONLINE

habis