Tertuduh, Abdul Munif Ali, 52, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan sebanyak RM10,000 daripada Rashid Mat Desa, 47, sebagai dorongan untuk dirinya kononnya untuk dibayar kepada Suzana Md Nor iaitu Pembantu Khas kepada Pegawai Kewangan Negeri bagi membantu mendapatkan kelulusan permohonan projek melombong pasir tersebut pada 2 Februari 2015, kira-kira pukul 10.30 pagi.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan sebanyak RM10,000 sebagai dorongan kononnya untuk diberikan kepada pegawai kerajaan negeri Perak bagi mendapatkan dokumen sulit kerajaan serta membantu mendapatkan projek melombong pasir sekitar negeri Perak.

Selain itu, tertuduh turut didakwa meminta wang tunai sebanyak RM80,000 daripada Nor Azman Hashim, 47, sebagai dorongan kononnya untuk diberikan kepada pegawai kerajaan negeri Perak bagi mendapatkan kelulusan permohonan projek melombong pasir sekitar negeri Perak yang dipohon oleh Rashid Mat Desa dan Nor Azman Hashim.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di Old Town White Coffee Ipoh Garden di sini pada 4 Februari 2015, kira-kira pukul 6 petang.

Kesemua pertuduhan yang dikemukakan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurdihana Rosdi manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Salihen Mastor.

Terdahulu, Nurdihana memohon supaya tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport miliknya diserahkan kepada mahkamah.

Mohamad Salihen bagaimanapun memohon jaminan itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak memiliki pekerjaan tetap selain mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah dan sebagai anak lelaki tunggal, tertuduh perlu menjaga ibunya berusia 84 tahun.

Selain itu, kata Mohamad Salihen, anak guamnya turut menyatakan komitmen untuk melapor diri kepada SPRM pada setiap bulan selama tempoh lima tahun, justeru tiada kebarangkalian untuk tertuduh melarikan diri.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan pasport miliknya turut diserahkan kepada SPRM sekiranya ada selain menetapkan 4 September ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE