Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai memaklumkan pihaknya memerlukan masa untuk melengkapkan beberapa lagi dokumen sebelum diserahkan kepada pihak pembelaan.

"Satu jilid dokumen telah diserahkan manakala selebihnya akan diserahkan kemudian.

"Pihak pendakwaan juga akan mengemukakan permohonan untuk membenarkan kes membabitkan kedua-dua tertuduh dibicarakan bersama dan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi," katanya.

Pihak pembelaan yang diwakili peguam bela Datuk R. Kumaraendran mengesahkan perkara tersebut dan meminta mahkamah untuk memberikan masa kepada pembelaan untuk meneliti kesemua dokumen sebelum sebarang keputusan melibatkan anak-anak guamnya dibuat. - UTUSAN ONLINE