Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali selepas pihak pendakwaan menutup kes mereka hari ini.

Hakim Mohd. Nazlan juga menetapkan 22 dan 23 Oktober ini untuk pihak-pihak berhujah secara lisan.

Terdahulu, Peguam Negara, Tommy Thomas memaklumkan pihaknya menutup kes pendakwaan selepas 58 hari perbicaraan dengan 57 saksi dipanggil memberi keterangan.

Tommy memaklumkan demikian selepas Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Husain, 54, yang juga pegawai penyiasat selesai memberi keterangan hari ini.

Pihak pendakwaan turut memberitahu mahkamah bahawa sebanyak 66 individu daripada senarai saksi pendakwaan ditawarkan kepada pihak pembelaan sekiranya tertuduh dipanggil membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 3 April lalu, lebih 700 bahan bukti dikemukakan kepada mahkamah antaranya minit mesyuarat dan dokumen perbankan.

Antara saksi yang memberikan keterangan pada perbicaraan itu ialah Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC International, Tan Sri Ismee Ismail dan bekas Pengarah Bukan Eksekutif SRC International Sdn. Bhd., Datuk Suboh Md. Yassin.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International. - UTUSAN ONLINE.