Ung Su Ling, 51, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberitahu pertemuan kali pertama antara beliau dan Low Teck Jho itu adalah sekitar 2000 atau 2001.

Beliau berkata, Jho Low pernah menyatakan hasratnya untuk pulang ke Malaysia bagi melakukan beberapa kerja selepas tamat pengajian termasuk memulakan perniagaan.

"Pada awal pertemuan itu, apa yang saya tahu beliau ada membangunkan sebuah perniagaan dotcom namun syarikat itu kemudian dijual.

"Perkenalan itu adalah cerita lama apatah lagi sudah bertahun-tahun lamanya, jadi mungkin tidak tepat," katanya ketika menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbicaraan yang masuk hari ke-39 berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.

Saksi pendakwaan ke-49 itu turut menafikan Lotus Asset Management pernah menguruskan kewangan Jho Low.

"Malah, semasa saya bekerja di firma itu, saya sendiri tidak pernah menguruskan kewangan milik Jho Low," katanya lagi.

Beliau pernah bekerja di Lotus Asset Management sebelum menyertai Wynton Group pada 2004 bersama tiga individu lain.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali masih diteruskan dengan mendengar keterangan daripada saksi yang sama. - UTUSAN ONLINE.