Koroner Mahyon Talib berkata, mahkamah dapati tiada sesiapa yang terlibat secara jenayah dalam kematian remaja berusia 19 tahun itu.

Mahkamah turut memutuskan Ivana telah mati akibat jatuh daripada tempat tinggi antara pukul 6.50 pagi dan sebelum 2 petang, 7 Disember 2017 dan mayatnya ditemukan di tengah-tengah longgokan serpihan runtuhan balkoni di tingkat enam, Kondominium CapSquare Residences.

“Tanda cengkaman di lengan, trauma belakang kepala, botol pecah dan asid deoksiribonukleik (DNA) Alex Johnson di bawah kuku Ivana, mencadangkan terdapat beberapa pergelutan atau perkelahian berlaku antara Alex, Ivana dan Luna Almaz sebelum kematian mangsa.

“Namun, kita tidak dapat mengetahui apa sebenarnya telah berlaku antara mereka. Mahkamah memutuskan kematian Ivana sebagai ‘misadventure’.

Prosiding inkues bagi siasatan punca sebenar kematian model berkenaan yang dikendalikan oleh Pegawai Pengendali, N. Joy Jothi bermula pada 8 Ogos tahun lalu dengan 22 saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

Pada 7 Disember 2017, akhbar melaporkan, mayat model warga Belgium yang dipercayai di bawah pengaruh dadah dan alkohol itu ditemukan tersangkut di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat enam kondominium tersebut dalam keadaan berbogel kira-kira pukul 12 tengah hari.

Difahamkan, pada malam sebelum kejadian, mangsa telah keluar berhibur di pusat hiburan bersama pemilik kediaman di tingkat 20 itu yang merupakan seorang lelaki warga Amerika Syarikat dan isterinya warga Kazakhstan. - UTUSAN ONLINE.