Menurut laporan portal berita The Edge, keputusan sebulat suara oleh panel tujuh hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim turut mengetepikan denda RM1,800 yang dikenakan terhadap mendiang sebelum ini.

Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati berlakunya salah arah undang-undang yang serius oleh hakim yang mendengar perbicaraan tersebut dan Mahkamah Rayuan sebelum ini apabila gagal mengambil kira pembelaan Karpal.

Karpal meninggal dunia pada 17 April 2014 selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Gopeng. Rayuan tersebut diteruskan oleh isteri mendiang, Gurmit Kaur selaku pentadbir harta Karpal.

Beliau sebelum ini disabitkan dengan pertuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung Sultan Perak berkaitan dengan pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada jawatan Menteri Besar Perak pada sidang akhbar di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co, No. 67, Jalan Pudu Lama di ibu negara, antara pukul 12 dan 12.30 tengah hari, 6 Februari 2009.

Dia kemudian dikenakan denda RM4,800 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum jumlah tersebut dikurangkan kepada RM1,800 oleh Mahkamah Rayuan pada Mei 2016.