Cheah Tek Kuang, 72, dalam penyataan saksinya berkata, pertemuan tersebut diadakan di rumah Najib di Langgak Duta pada pertengahan bulan Januari 2011 kira-kira pukul 7 petang.

Beliau berkata, pertemuan yang diatur oleh Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Azlin Alias itu adalah susulan arahan daripada

Pengerusi Ambank Tan Sri Azman Hashim.

"Pada awal Januari 2011, saya didatangi oleh bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu yang memaklumkan Najib berminat untuk membuka akaun simpanan dan semasa di Ambank.

"Saya kemudian bertemu dengan Tan Sri Azman di pejabatnya untuk berbincang mengenai hasrat perdana menteri (ketika itu) dan beliau terus mengarahkan saya untuk menguruskan perkara ini," katanya dalam perbicaraan hari ke-39 melibatkan Ahli Parlimen Pekan itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Saksi pendakwaan ke-50 berkata, setibanya di rumah Najib, beliau telah bertemu dengan Jho Low yang pernah ditemuinya sebelum ini.

Lelaki itu kemudiannya menurut saksi telah memperkenalkan beliau kepada Najib dengan menyatakan wakil daripada Ambank.

"Saya kemudian berbincang dengan Najib di bilik tetamu manakala Jho Low menanti di ruangan berbeza di kediaman tersebut," katanya.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali bersambung esok. - UTUSAN ONLINE