Perkara tersebut dimaklumkan oleh saksi pendakwaan kelapan, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin ketika membaca pernyataan saksinya sambil merujuk kepada satu dokumen bertajuk Q & A: 1MDB.

"Dokumen ini adalah satu nota maklumat atau talking points yang telah disediakan oleh Jho Low. Nota ini membincangkan mengenai beberapa isu terkini berkaitan dengan 1MDB ketika itu. Antaranya isu mengenai siapakah Jho Low dan peranannya di dalam 1MDB.

"Dalam dokumen ini pada para 7 ada menegaskan bahawa Jho Low tidak berperanan dalam 1MDB walaupun hakikatnya beliau merupakan perancang utama dalam urusan 1MDB secara sulit.

"Pada perenggan 8 pula merupakan jawapan contoh untuk menegaskan bahawa 1MDB adalah satu projek yang berjaya. Jawapan ini juga dapat mengalihkan tohmahan-tohmahan atau tuduhan-tuduhan ke atas Datuk Seri Najib berhubung masalah-masalah yang ada dalam 1MDB daripada beliau," katanya.

Saksi itu berkata demikian pada hari keempat perbicaraan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana syarikat 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE