Perkara itu didedahkan oleh saksi pendakwaan ke-54, bekas pengurus perhubungan (RM) AmBank, Joanna Yu Ging Ping ketika pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menurut Joanna, 48, arahan pemindahan wang berkenaan dikeluarkan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho.

"Ya, Jho Low mempunyai kuasa untuk memindahkan dana daripada SRC International. Wang berkenaan dipindahkan ke akaun Najib untuk mengelakkan cek tendang," katanya katanya pada perbicaraan hari ke-46 melibatkan Najib berhubung dana SRC International.

Joanna sekali lagi bersetuju bahawa bahawa 19 transaksi segera melibatkan deposit wang tunai dengan jumlah lebih RM12 juta antara tahun 2014 dan Mac 2015 adalah bagi mengelakkan berlakunya cek tendang.

Peguam juga bertanyakan mengenai kemasukan wang daripada Gandingan Mentari Sdn. Bhd. dan Ihsan Perdana Sdn. Bhd. ke akaun milik bekas Perdana Menteri itu.

Bagaimanapun, saksi menjawab beliau hanya mengetahui pemindahan wang daripada SRC Internarional yang masuk ke dalam akaun Najib.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali masih diteruskan dengan mendengar keterangan Joanna. - UTUSAN ONLINE.