Koroner Rofiah Mohamad turut menetapkan tarikh tersebut sebagai sebutan permohonan memulakan prosiding komital (menghina mahkamah) terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas yang difailkan oleh bapa Muhammad Adib, Mohd. Kassim Abdul Hamid semalam.

Rofiah menetapkan tarikh itu selepas peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Kamaruzaman A. Wahab memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan bagi kes tersebut.

“Permohonan ini telah berada dalam sistem namun saya belum menelitinya lagi. Saya tetapkan 24 Julai sebagai keputusan sama ada perlu panggil saksi patologi lain atau ditutup bersama dengan permohonan komital tersebut,” katanya.

Semalam, Mohd. Kassim,64, memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak). Dalam permohonan itu, beliau mendakwa Tommy telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Penguam Negara pada 3 April lalu.

Hari ini, prosiding inkues memasuki hari ke-41 memanggil semula saksi Pakar Fizik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Amir Radzi Ab. Ghani yang merupakan saksi ke-30.-UTUSAN ONLINE