Kumaresan Yehganathan, 36, dari Pulau Pinang itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Norhayati Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Mohd. Asri dengan niat untuk menyebabkan Mufti Perlis itu cedera parah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Bilal Udoh, Mukim Chuping dalam daerah Padang Besar kira-kira pukul 6 petang, 1 Mei lalu.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Farhan Aliff Ahmad mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain memberikan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu pengadu.

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Ahmad itu bagaimanapun masih belum membayar ikat jamin.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Mei ini.

Baru-baru ini, Mohd. Asri membuat laporan polis setelah menerima ugutan daripada seorang pemilik akaun Facebook untuk mencederakannya.

Mohd. Asri menerima kiriman mesej ugutan itu melalui Facebook ketika berada di rumahnya di Padang Besar dekat sini, kira-kira pukul 6 petang.

Dalam kiriman mesej tersebut, pemilik akaun bernama ‘Sandev Sandev’ itu mengugut untuk menumbuk Mohd. Asri sehingga cedera.

Pemilik akaun itu turut menyertakan satu nombor telefon dan meminta Mohd. Asri supaya menghubunginya sebelum dia datang mencari.- UTUSAN ONLINE