Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, sehubungan itu setiap prosiding mahkamah yang disertai mereka akan dijalankan secara tertutup atau melalui kamera.

“Selain itu, bilik khas akan disediakan oleh mahkamah untuk saksi memberikan keterangan mengikut Sekyen 20 Akta Perlindungan Saksi 2009,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ujar Vui Keong, peserta Program Perlindungan Saksi layak menerima dua lagi keistimewaan iaitu perlindungan interm (sementara) dan pelbagai kemudahan seperti tempat tinggal, penyediaan pengangkutan, bayaran saraan dan bantuan pekerjaan serta pendidikan.

Kata beliau, saksi yang ingin menyertai program itu perlu membuat permohonan secara bertulis kepada Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan.

“Selain itu, terdapat lagi kaedah permohonan iaitu mana-mana agensi penguatkuasaan boleh memohon agar saksi dimasukkan dalam program itu.

“Ibu bapa atau penjaga bagi saksi berumur bawah 18 tahun boleh memohon bagi pihaknya untuk dimasukkan ke dalam program berkenaan.

“Setelah permohonan dibuat, Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan akan mengarahkan elemen di bawahnya untuk mengambil tindakan mengikut prosedur ditetapkan bagi menentukan saksi mempunyai kepentingan kepada negara sebelum dimasukkan dalam program ini,” katanya.

Pada masa sama, Vui Keong menambah, Akta perlindungan Saksi 2009 yang diwartakan pada 30 April 2009 bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada lima kategori saksi.

Beliau menjelaskan antara salah satu lima kategori saksi itu adalah seseorang yang telah memberikan atau telah bersetuju untuk memberikan keterangan bagi pihak kerajaan dalam sesuatu prosiding jenayah.- UTUSAN ONLINE