Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak itu merumuskan demikian ekoran ahli perniagaan itu kerap mendapat panggilan daripada Rosmah.

Disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagaimana beliau mengetahui hubungan rapat itu, Amhari berkata, ketika hadir dalam beberapa majlis rasmi di kediaman bekas perdana menteri, beliau pernah mendengar perbualan telefon antara Rosmah dengan Jho Low.

“Rosmah juga pernah bercakap mengenai Jho Low kepada saya dan begitu juga dengan Jho Low.

“Saya mendengar perbualan mereka menerusi telefon tetapi tidak pernah ambil tahu apa yang dibualkan. Saya tidak ingin campur urusan peribadi orang lain,” katanya.

Bagaimanapun, menurut saksi, Rosmah tidak pernah memberitahu bahawa hubungan mereka rapat.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa Jho Low sering dijemput dalam majlis tertutup yang diadakan bekas Perdana Menteri itu.

Amhari berkata, dalam majlis itu selalunya jemputan adalah lebih kurang seratus orang di mana mereka terdiri daripada pegawai kerajaan, ahli perniagaan dan individu keutamaan (vvip).

Sehubungan itu, Amhari bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa jemputan yang menghadiri majlis di kediaman Najib adalah mereka yang rapat dengan keluarga bekas perdana menteri itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini. - UTUSAN ONLINE.