Ini kerana, Mohamad Yazid Kong Abdullah, 52, gagal untuk membayar denda RM10,000 yang diperintahkan Hakim Hasbullah Adam selepas dia mengekalkan pengakuan bersalah yang dibuatnya pada Jumaat lalu. Hukuman penjara itu diperintahkan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 5 Mac lalu.

Keputusan hari ini menjadikan penganggur tersebut menjadi individu kedua yang dijatuhkan hukuman selepas Alister Cogia, 22, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen Ku­ching, Sarawak, Jumaat lalu.

Terdahulu, Hasbullah ketika membacakan keputusannya berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh amat serius kerana menghina agama Islam sebagai agama Persekutuan sekali gus mencabar undang-undang ter­tinggi dalam negara.

Berdasarkan pertuduhan, pemilik akaun Facebook atas nama `Yazid Kong’ didakwa telah memulakan komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada pukul 8.21 malam, 28 Februari lalu.

Kenyataan itu kemudiannya dibaca pengguna Facebook lain, Mohd. Syafiq di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Jalan Taman Melati, Wangsa Maju, pada pukul 12 tengah hari, 1 Mac lalu sebelum dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, Kuala Lumpur, pukul 8.30 malam, 3 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan oleh Pengarah Jabatan Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Mohd. Sophian Zakaria dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md. Kamal dibuat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun.

Terdahulu, Muhamad Asy­raf memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh ekoran kesalahan yang dilakukan amat serius kerana mencetuskan kontroversi dan kete­gangan dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

“Perbuatan tertuduh menghina agama dan Nabi bukan perkara yang boleh dipandang remeh, lebih-lebih lagi kesalahan itu dilakukan ketika rakyat Malaysia sedang berdepan dengan sindrom penghinaan agama Islam,” katanya.

Tertuduh yang diwakili peguam bela, Muhammad Syafiq Salleh pula memohon agar hukuman ringan dikenakan atas alasan anak guamnya adalah penanggung tunggal dalam keluarga serta ini merupakan ke­salahan pertamanya.

“Tertuduh amat menyesali perbuatannya dan memohon maaf atas tindakannya itu. Pada masa sama jika tertuduh dipenjarakan, saya meminta agar dia boleh beri peluang mempelajari ilmu agama Islam,” katanya.

Dari 7 ke 9 bulan kerana gagal bayar denda