Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd. Hafarizam memberitahu perkara tersebut ketika sebutan kes di hadapan Hakim Azman Ahmad yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul.

Hasnal Rezua berkata, permohonan tersebut yang akan difailkan selewat-selewatnya Jumaat depan adalah rentetan daripada keterangan seorang saksi dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana SRC International Sdn. Bhd.

"Saksi ketika jawab soal balas mengesahkan ada wang RM600 juta dimasukkan ke dalam akaun kepunyaan Najib yang datangnya dari sumber putera raja Arab Saudi dan Kementerian Kewangan Riyadh.

"Jadi dengan relevannya fakta atau maklumat tersebut, kami akan memfailkan permohonan untuk mendapatkan butiran matan yang tidak terkandung dalam kertas pertuduhan. Butiran seperti sumber cek yang diterima anak guam saya," katanya.

Pada perbicaraan SRC Internation hari ke-56, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Husain yang juga pegawai penyiasat mengesahkan terdapat kemasukkan dana sebanyak RM642 juta daripada Kementerian Kewangan Riyadh (Arab Saudi) dan Putera Faisal Turki ke dalam akaun bank peribadi bekas Perdana Menteri.

Pada 21 Februari lalu, Mohd. Hafarizam mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Dia didakwa mendeposit dua keping cek daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bernilai RM11.5 juta ke dalam akaun bank milik firma guamannya, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, antara 16 April dan 4 November, 2014.

Peguam itu juga dituduh mendeposit cek bernilai RM3.5 juta daripada Najib ke dalam akaun sama pada 12 Feb, 2015.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan CIMB Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini. - UTUSAN ONLINE.