Zulkifli Ibrahim, 47, yang juga seorang guru sekolah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Diana Md. Razali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia sebagai ejen menjual kereta terpakai diamanahkan sebuah Toyota Innova dan wang deposit RM20,000 oleh Rozinah Suhaili Ismail, 39, untuk membeli kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Tertuduh bagaimanapun didakwa dengan curang menggunakan hasil jualan kenderaan tersebut dan wang deposit berkenaan untuk kegunaan dirinya yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Perbuatan itu dilakukan di CIMB Taman Semarak, Nilai antara 19 Februari sehingga 21 Februari lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat dan dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohamad Azri mencadangkan kepada mahkamah supaya ikat jamin sebanyak RM15,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jumlah ikat jamin dikurangkan memandangkan dia perlu menanggung empat anaknya yang masih bersekolah dan ibunya yang lumpuh.

Hakim menetapkan ikat jamin RM10,000 dikenakan dan tertuduh dikehendaki melaporkan diri kepada pihak polis pada setiap hari Sabtu sehingga kes itu selesai.

Hakim turut menetapkan 5 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE