Rafizi menerusi ciapan dalam Twitter rasminya berkata, Najib sepatutnya gembira kerana tidak menanggung nasib seperti orang lain yang didakwa di mahkamah termasuk dirinya sendiri.

“Hahaha..okay la itu. Paling kurang tidak perlu berkaki ayam, gari dan pakai baju ungu. Lepas itu, duduk dalam kandang tertuduh bertahun-tahun. Kita okay sahaja, tak pernah merungut,” katanya di sini hari ini.

Malaysiakini hari ini melaporkan, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika bercakap kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, meminta Peguam Negara Tommy Thomas dan mahkamah agar kerusi kayu yang diduduki selama berjam-jam hampir setiap hari oleh bekas Perdana Menteri itu dipasangkan kusyen.

Menurut peguam kanan itu, bertentangan dengan konsep tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah anak guamnya sudah dihukum dengan terpaksa duduk di permukaan keras pada bahagian bangku walaupun kesalahannya belum disabitkan.

Najib dihadapkan tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta dan pihak pendakwaan menutup kes itu hari ini.

Hakim Nazlan Mohd. Ghazali akan memutuskan pada 11 November depan sama ada Najib perlu membela diri. -UTUSAN ONLINE