Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Tan Kian Ngip, 40, selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mahyun Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Tan Kim Joo,73, dan Ng Chong Hwa,67, dengan menikam mengunakan pisau antara jam 4 petang hingga 7.45 malam di Taman Desa Melati, Nilai.

Timbalan Pendakwaraya, Mas Syafiqah Mahroob kemnudian memohon penangguhan kes itu bagi melengkapkan laporan kimia.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 September ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di hadapan Majistret V. Vanetha, tiga lagi tertuduh mengaku tidak salah terhadap pertuduhan menghilangkan senjata iaitu pisau yang digunakan oleh Kian Ngip.

Tertuduh, Lim Boon Ee, 35; Kek Yiing Haur, 41, dan Huen Kok Chou, 38, didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin, serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai.

Kes itu disebut semula untuk bicara pada 10 September.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Nur'atiqah Sapari dan Mas Syafiqah.

Tertuduh Kian Ngip dan Boon Ee diwakili peguam Datuk Joshua Kevin bersama Leng Wie Mun; Kok Chou diwakili peguam B. Jayaprakash Rou dan Joseph Mathew mewakili Yiing Haur. - UTUSAN ONLINE