Bagaimanapun, tertuduh, Tan Sri M.K. Ketheeeswaran atau lebih dikenali dengan Kenneth Eswaran, 58, dan isterinya, Puan Sri Vivienne Ketheeswaran, 63, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa memperdagangkan tiga wanita warga Indonesia berusia 25, 29 dan 41 tahun bagi maksud ekploitasi kerja paksa.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Cinta Alam Country Height, Kajang antara Oktober 2012 hingga Mac lalu.

Mengikut pertuduhan, bekas Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) serta isterinya didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda, jika disabitkan bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatnin Yusof dan kedua-dua tertuduh diwakili oleh Shashi Devan dan Datuk C. Vijayakumar.

Terdahulu, Fatnin menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 setiap tertuduh dan pasport kedua-dua mereka diserahkan ke mahkamah.

Roszianayati kemudiannya membenarkan jaminan tersebut dan menetapkan tarikh sebutan kes pada 3 Mei hadapan. - UTUSAN ONLINE