Bagaimanapun, Datuk Seri Lai Chai Shuang, 49 dan Chai Ling Mooi, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan tersebut selesai dibacakan di hadapan Hakim Zamri Bakar.

Mengikut semua pertuduhan, mereka didakwa telah menggunakan tiga akaun bank milik syarikat Mon Space (M) Sdn. Bhd. sebagai peralatan pengubahan wang haram yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kedua-dua wanita itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Public Bank Berhad, Maybank dan RHB Bank sekitar Kuala Lumpur antara 6 Jun 2016 dan 24 Julai tahun lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Farid Ahmad Kamil mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau peralatan kesalahan atau RM5 juta mengikut yang mana lebih tinggi.

Pada 8 Mei lalu, kedua-dua tertuduh dan seorang lagi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mempromosi dan menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen Skim Piramid, tahun lalu. - UTUSAN ONLINE.