HASMIZA OTHMAN atau dikenali Dr. Vida diiringi pegawai kastam ketika menghadiri kes pendakwaan gagal membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) lebih RM4.2 juta di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak, semalam. UTUSAN/SYEFRY MONIZ

Pengasas Vida Beauty Sdn. Bhd. itu menghadapi 16 pertuduhan masing-masing mengikut Seksyen 41(7) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dan Seksyen 41(6) akta sama.

Hasmiza, 45, yang lebih popular dengan panggilan Dr. Vida bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan tersebut yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada dua anak itu didakwa sebagai seorang yang berdaftar di bawah Akta GST 2014 dan pemilik tunggal perniagaan Vida Beauty telah gagal membayar cukai bagi tempoh bercukai antara April 2015 sehingga Julai tahun ini berjumlah lebih RM4.2 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, Jalan Tun Abdul Razak di sini pada 11 Februari, 1 Jun dan 22 September lalu.


Video oleh SYEFRI MONIZ MOHD. NIZAR

Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 41(7) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dan boleh dihukum di bawah akta dan seksyen yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hasmiza turut didakwa mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 41(6) akta serupa selepas gagal mengemukakan penyata cukai GST pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Terdahulu, pada prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan dan Datuk Raja Rozela Raja Toran itu menawarkan jaminan RM100,000 dengan dua orang penjamin bagi setiap pertuduhan selain pasport milik Hasmiza diserahkan kepada pihak mahkamah.

Bagaimanapun, Hasmiza yang diwakili peguam Khairilazwar Khalil dan Syed Ahmad Syed Abas memohon agar jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM3,000 bagi setiap pertuduhan manakala pasport milik anak guamnya pula tidak ditahan.

Menurut Khairilazwar, jaminan tersebut hanya untuk memastikan kehadiran anak guam­nya dan sekiranya jaminan itu tidak dapat dibayar ia akan menjejaskan pentadbiran perniagaan wanita itu kerana beliau merupakan pemilik tunggal kepada perniagaan berkenaan.

Hakim Murtazadi kemudian­nya membenarkan Hasmiza di­ikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan tidak membayar cukai GST manakala RM50,000 dengan seorang penjamin pula dikenakan bagi setiap kesalahan tidak mengemukakan penyata cukai GST.

Beliau turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar pasport dan dokumen perjalanan ahli perniagaan itu di­serahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan kes tersebut selesai.

Hasmiza yang hadir di mahkamah dengan memakai jubah berwarna hitam dan tudung merah kelihatan tenang semasa keputusan tersebut dibacakan dan membayar wang jaminan berjumlah RM1.76 juta hari ini.

Kes disebut semula pada 15 November ini.