Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan, terdapat beberapa dokumen dari Amerika Syarikat belum diperolehi.

Bagaimanapun, Sri Ram menjelaskan sebahagian daripada dokumen kes tersebut telah diserahkan kepada pihak pembelaan Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

"Untuk itu pihak kami memohon satu lagi tarikh sebutan bagi membolehkan serahan dokumen dilakukan kepada pihak pembelaan," katanya.

Pada 5 Julai lalu, Riza Aziz atau nama sebenarnya Riza Shahriz Abdul Aziz mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah AS$248.173 juta yang didakwa daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapan tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, penerbit filem Hollywood, 'Wolf Of The Wall Street' itu didakwa telah menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah antara AS$1.17 juta dan AS$133 juta melalui lima transaksi pemindahan wang daripada akaun Good Star Ltd. dan Aabar Investment PJS Ltd. ke akaun Red Granite Production dan Red Granite Capital.

Pengasas bersama syarikat pembikinan filem, Red Granite Pictures itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di City National Bank, Los Angeles Main, 535, South Flower Street, Los Angeles, California, Amerika Syarikat dan BSI Bank Ltd. 7, Temasek Boulevard, 32-01, Suntec Tower One, Singapura antara 12 April 2011 dan 14 November 2012.

Pertuduhan terhadap Riza Aziz dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM5 juta dan penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali. - UTUSAN ONLINE