Tertuduh, Mohd. Fauzi Abd. Ghani, 39, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan itu selesai dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang bertugas sebagai pembantu operasi Jabatan Veterinar negeri Terengganu itu didakwa telah melakukan perbuatan mengaibkan terhadap dua wanita masing-masing berusia 21 tahun dengan cara menghubungi mereka melalui telefon untuk melakukan aksi lucah.

Perbuatan tersebut masing-masing dilakukan di sebuah rumah di Jalan Meranti 3A/7, Bandar Utama Ligamas, Batang Kali dan Jalan Gapi 1C/9, Seksyen 1 Antara Gapi, Serendah pada pukul 12.57 tengah hari dan 9.27 malam pada 13 dan 25 Julai lalu.

Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa telah memperkenalkan diri sebagai doktor dan doktor sakit puan terhadap kedua-dua mangsa yang sama sehingga menyebabkan mereka mempercayai tertuduh adalah penjawat awam.

Pertuduhan dikemukakan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Sabrina Abd. Rashid dibuat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE