C. Vijayakumar, 34, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM500 melalui akaun Public Bank daripada Muhamad Amir Safwan Rusli sebagai upah bagi memberi sijil Diploma Pentadbiran Perniagaan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) atas nama Mohd. Amirul Hakim Rusdi tanpa mengikut prosedur yang betul.

Tindakan itu dilakukan tertuduh di Public Bank cawangan Melaka di Jalan Merdeka Taman Melaka Raya, pada pukul 4.39 petang 19 Januari 2018.

Bagi kesalahan itu, Vijayakumar didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 tertakluk kepada mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir sebelum itu mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dikenakan manakala Peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai pertuduhan lain atas kesalahan sama di Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Mohd. Nasir membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dan memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Shah Alam bagi sebutan semula bersama kes terdahulu pada tarikh 9 April (esok).

Akhbar pada 30 Januari dan 4 April lalu melaporkan Vijayakumar telah dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan pemalsuan ijazah sarjana muda dari sebuah universiti swasta tahun lalu. - UTUSAN ONLINE