Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Esup, 27, selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri komponen kereta milik Ruddy Azlan, 40, di bengkel kereta Blok F, Pangsapuri Mawar Jaya, Kota Perdana, Seri Kembangan, di sini, pada 4.30 pagi, 15 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, dia dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dari tarikh tangkapnya pada 15 Mac lepas dan denda RM2,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Lelaki itu turut mengaku bersalah masuk ke Malaysia tanpa sebarang dokumen perjalanan sah di tempat dan masa sama dan dihukum penjara tiga bulan dan diperintahkan menjalani kedua-dua hukuman penjara itu secara berasingan.

Bagi kesalahan cuba mencuri, dia didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 42 bulan serta denda manakala Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara yang boleh sampai lima tahun dan boleh dikenakan sebatan maksimum enam kali, bagi kesalahan ketiadaan dokumen.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakieraah Zakaria memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dan memohon segera dihantar pulang ke Myanmar selepas selesai menjalani hukuman. - BERNAMA