Majistret Noorasyikin Sahat menjatuhkan hukuman itu terhadap Md. Nizam Hassan, 42, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap Ummi Kalsom, 46, di sebuah rumah di Taman Dato Senu di sini, pada 8 malam, 8 April lalu.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Md. Nizam, yang merupakan anak lelaki sulung didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Ketika ditanya Majistret bagaimana kejadian itu berlaku, tertuduh berkata ianya berpunca dari ketidakpuasan hati dan perselisihan faham antara dirinya dengan mangsa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wafa Zainal Abidin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran agar tertuduh tidak lagi mengulangi kesalahan sama namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia penanggung utama keluarga selain menyara ibunya yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi. - BERNAMA