Tertuduh, Mohd. Hasnizam Abdul Hamid, 32, turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 18 bulan sekiranya tidak membayar denda terbabit.

Bagaimanapun, rakannya, Harun Mat, 64, mengaku tidak bersalah atas kesalahan sama sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama seorang lagi individu yang masih bebas, Abd. Jalal Mohamad, 31, didapati memasuki kawasan Kompartmen 11 Hutan Simpan Koh Moi tanpa memiliki lesen, permit atau apa-apa kebenaran kira-kira 10.30 pagi, 9 Mac lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 47 (1) Akta Perhutanan 1984 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mason Jaro Lenya Barayan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah memerintahkan jaminan RM5,000 terhadap Harun dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 20 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, lima lelaki mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan kerana menceroboh dan membersih kawasan hutan simpan yang sama.

Tertuduh, Abdullah Hassan, 57; Muhamad Farizul Azman Husain, 38; Nordin Puteh, 54; Saiful Rizan Mohd. Noh, 36, dan Mohamad Shuib Saad, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Murtazadi.

Mengikut pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa bersama-sama seorang lagi lelaki Rohingya yang masih bebas, Moktul Husson Guramiah menceroboh dengan niat untuk mengusaha kawasan hutan simpanan tanpa kebenaran yang sah di Kompartmen 11 Hutan Simpan Koh Moi, kira-kira pukul 10.30 pagi, 9 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua, keenam-enam mereka didakwa membersih atau membajak mana-mana tanah untuk tujuan tanaman tanpa kebenaran yang sah di tempat dan waktu yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fazilah Mansor, manakala peguam, Mohd. Ghazaly Abd. Rahman mewakili empat tertuduh kecuali Abdullah.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 seorang bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin. Hakim turut menetapkan 20 Ogos ini untuk sebutan semula kes. -UTUSAN ONLINE