Majistret Noorasyikin Sahat menjatuhkan hukuman itu terhadap Hazwan Salleh, 38, selepas tertuduh mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 bagi setiap pertuduhan dan penjara tiga bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dua dokumen iaitu surat bertajuk 'Cadangan Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong' dan 'Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Negara Sempena Majlis Pertabalan Khas Tertutup Raja Yang Dipertuan Agong Dan Pelancaran Yayasan Diraja Malaysia' sebagai tulen yang diketahui merupakan dokumen palsu.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di No.14, Jalan Medan Setia 2, Plaza Damansara Heights di sini, pada 8 Ogos 2018 dan 20 Ogos 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wafa Zainal Abidin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama namun tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Afif Che Had merayu hukuman ringan kerana anaknya merupakan orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan kaki palsu selain hilang pekerjaan selepas ditahan reman. - BERNAMA