Banik Sobal Chandra, 33 dan Hossain Kazirazib, 20, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Bagi ketiga-tiga kesalahan itu, Banik dikenakan denda RM17,400 atau 29 bulan penjara jika gagal bayar manakala Hossain didenda RM39,200 atau 38 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Banik didakwa memiliki beg tangan, dompet dan tali pinggang jenama tiruan iaitu Louis Vuiton, Gucci dan Channel bernilai RM7,365, pada pukul 12.40 tengah malam, 26 Mac lalu manakala Hossain turut didakwa memiliki barangan sama RM26,560, pada pukul 1.45 tengah hari di tempat dan tarikh yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 8 (2)(C) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8(2)(B) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan yang diletakkan perihal akta dagangan palsu, atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua atau seterusnya didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang diletakkan perihal dagangan palsu atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa, Kementerian Pengguna Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd. Kamil Khirodin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah mengarahkan Hossain dihantar ke Pusat Koreksional, Puncak Alam sebagai pesalah muda kerana gagal membayar denda manakala Banik membayar denda tersebut. - BERNAMA