Kedua-dua tertuduh, T. Ananth Sooria, 35, dari Taman Inderawasih, Perai dan M. Kalaimanan, 30 dari Taman Chai Leng Park, Perai, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret B. Sri Pracha Nanthini.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua tertuduh didakwa membunuh S. Gehanathan, 38, di sebuah premis mencuci kereta di Jalan Gan Chai Leng, Taman Chai Leng milik Ananth Sooria pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari 19 Mac lalu.

Mahkamah menetapkan 28 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu mendapatkan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nazri Abdul Karim manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Y. Yogeswaran. - BERNAMA