Hakim Rasyihah Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap K. Ganesh, 42.

Mahkamah menetapkan 30 September untuk bicara peringkat bela diri dengan empat saksi pembelaan selain tertuduh akan dipanggil untuk memberi keterangan pada hari sama.

“Setelah mendengar dan meneliti keterangan saksi pendakwaan dan eksibit-eksibit yang dikemukakan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie oleh itu, mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri,” katanya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan kejamnya atau secara tidak munasabah menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya pada seekor kucing.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di premis Dobi Queen Self Service Laundry Taman Gombak Ria, Jalan Gombak Ria, Taman Gombak Ria, Batu Caves, dekat sini antara pukul 12.54 tengah malam dan pukul 1 pagi, 11 September tahun lalu.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan mengikut akta tersebut adalah yang pertama dijalankan di negara ini sejak ia berkuat kuasa pada Julai 2017.

Dua rakannya turut didakwa bersama sebelum ini, bagaimanapun A. Mohanraj, 42, telah dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas mengaku bersalah manakala SS. Satthiya, 26, pula dilepas dan dibebaskan.

Sebelum itu, tular dalam laman sosial sejak rakaman mengenai tindakan beberapa individu memasukkan seekor kucing ke dalam mesin pengering pakaian di sebuah dobi layan diri di Taman Gombak Ria, Gombak dekat sini. - UTUSAN ONLINE.