Penetapan tarikh berkenaan dibuat Hakim Syarie Mohamed Fouzi Mokhtar pada sebutan kes berkenaan yang dihadiri peguam syarie, Halimatunsa’diah Abu Ahmad mewakili Deja, 46, atau nama sebenarnya Sharifah Hadijah Wan Moss selaku plaintif kes tersebut.

Halimatunsa’diah ketika ditemui berkata, pihaknya telah memfailkan segala pliding dan isu-isu yang akan dibicarakan berhubung tuntutan itu kepada mahkamah manakala masih terdapat beberapa dokumen dalam peringkat draf yang perlu diteliti dan diluluskan oleh kedua-dua pihak.

“Bagaimanapun, untuk ti­dak melengahkan prosiding mahkamah, kami telah memohon mahkamah memberikan tarikh perbicaraan bagi kes ini,” katanya turut memaklumkan tuntutan tersebut difailkan pada Oktober tahun lalu.

Hakim Syarie kemudiannya membenarkan perbicaraan awal kes itu dijalankan pada 28 Mei ini dan pada tarikh sama Deja juga akan memberi keterangan berhubung tuntutan nafkah berkenaan.

Pada prosi­ding hari ini, Azfendy Azzuddin, 40, tidak hadir dan hanya diwakili peguam syarienya dari firma guaman, Tetuan Zarifah Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Deja Moss ketika ditemui berkata, dia ber­syukur segala urusan berjalan lancar selain mahu menyegerakan kes itu.

“Alhamdulilah semuanya berjalan dengan baik. Dalam kes ini saya juga tertekan kerana perlu menyediakan banyak dokumen,” katanya.

Deja Moss dengan suaminya, Azfendy Azzuddin dilaporkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada 24 Oktober 2018 selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga di hadapan Hakim Syarie Noranizan Mohd. Sufian.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 30 Ogos 2008 dan sepanjang tempoh perkahwinan itu, pasangan terbabit tidak dikurniakan cahaya mata.