Tertuduh, Ramlan Abdul Rashid, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap­nya itu dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Ridzwan Salleh.

Bagaimanapun, tiada pe­ngakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada lima orang anak itu didakwa membunuh Nur Aisyah Aleya di sebuah rumah Kuarters Hospital Langkawi, Mukim Kuah sini, di antara pukul 9 pagi hingga 10 pagi, 23 Februari lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Qatrin Nada Harun dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian mene­tapkan 22 Mei depan sebagai se­butan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat mangsa.

Sementara itu, isteri tertuduh berusia 40 tahun, seorang jururawat yang turut direman sejak 7 Mac lalu dibebaskan dengan jaminan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah pada semalam.

Akhbar pada 7 Mac lalu melaporkan tanda tanya mengenai kehilangan seorang kanak-kanak perem­puan itu berakhir de­ngan kisah sedih apabila polis mengesahkan mangsa dibunuh selepas me­nemukan tengkorak dan ce­bisan rambut mangsa di Gunung Raya di sini.

Cebisan daripada mayat Nur Aisyah Aleya yang tidak sempurna itu ditemukan anggota polis di dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter dari Jalan Gunung Raya kira-kira pukul 11.30 pagi, 6 Mac lalu.

Mangsa dilaporkan hilang ketika berada dalam jagaan sepasang suami isteri di kuarters kakitangan HL pada 3 Mac lalu.