Amhari Efendi yang merupakan bekas pegawai Khas Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjadi Perdana Menteri turut berkata Azlin ada memberitahunya sekiranya permintaan Jho Low itu tidak diikuti ia boleh menjadi ancaman kepada mereka dan keluarga mereka.

Terdahulu, saksi tersebut memberitahu Jho Low memintanya dan Azlin untuk membuka akaun sebagai `standby'.

“Jho Low memberikan jaminan untuk kami tidak perlu risau dan yakinlah dengan dia, malah dia telah memberitahu kami "boss will take care". Boss yang dimaksudkan adalah DS Najib,” katanya pada perbicaraan hari keempat perbicaraan membabitkan Najin berhubung penyelewengan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 20 September 2018, Najib mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Beliau juga didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion.

Amhari Afendi masih membaca pernyataan saksinya di Hakim Collin Lawrence Sequerah. - UTUSAN ONLINE