Perkara itu dimaklumkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib ketika awal prosiding perbicaraan kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.

Bagaimanapun, menurut Muhammad Shafee, salinan sijil cuti sakit hanya boleh diserahkan kepada pihak mahkamah dan pasukan pendakwaan selepas anak guamnya berjumpa dengan doktor pada pukul 10.30 pagi ini.

“Saya menerima panggilan telefon daripada anak guam pada pukul 7.15 pagi ini dan beliau tidak dapat hadir perbicaraan kerana sakit mata.

“Barangkali jangkitan mata itu disebabkan cuaca jerebu di mana pada petang semalam beliau berada di luar,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes ini tidak membantah permohonan penangguhan tersebut.

“Pendakwaan tiada apa-apa ingin diperkatakan. Kami hanya menunggu laporan kesihatan tertuduh,” katanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan penangguhan dan mengarahkan supaya pihak pembelaan memaklumkan perkembangan terkini berhubung jumlah cuti sakit yang diperolehi Ahli Parlimen Pekan itu.

“Sekiranya dua hari maka perbicaraan akan bersambung Selasa ini dan jika cuti sakit hanya sehari, maka esok kita akan sambung bicara,” katanya.

Hari ini sepatutnya perbicaraan diteruskan dengan sesi pemeriksaan balas bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, yang juga saksi pendakwaan kelapan.

Sebelum ini dalam prosiding perbicaraan membabitkab penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd., Najib pernah mengambil cuti sakit selama tiga hari atas masalah kesihatan yang sama.

Pada 20 September 2018, Najib mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Beliau juga didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion. - UTUSAN ONLINE