Peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohammed yang juga mewakili Ahli Parlimen Pekan itu memaklumkan peguam bela, Harvinderjit Singh kurang sihat pada awal prosiding.

Malah, menurutnya, ketua barisan pembelaan iaitu peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga tidak dapat hadir dalam prosiding hari ini ekoran mempunyai kes di mahkamah berlainan.

"Atas alasan tersebut, kami dengan rendah diri memohon untuk perbicaraan hari ini dilapangkan dan disambung esok," katanya.

Hari ini sepatutnya perbicaraan diteruskan dengan sesi pemeriksaan balas oleh Harvinderjit terhadap saksi pendakwaan ke-54, bekas pengurus perhubungan (RM) AmBank, Joanna Yu Ging Ping.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Harvinderjit pada pukul 6.30 pagi tadi dan memberitahu bahawa beliau tidak sihat.

"Pihak kami juga tidak sempat memanggil saksi lain untuk tujuan perbicaraan diteruskan ekoran pemakluman di saat-saat akhir ini," katanya.

Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali menangguhkan perbicaraan hari ini dan menetapkan 9 Ogos ini sebagai hari ganti selain mengarahkan Harvinderjit mengemukakan sijil sakitnya esok.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International. - UTUSAN ONLINE