Hakim Ainul Shahrin Mohamad menetapkan tarikh perbicaraan tersebut dalam prosiding yang berlangsung kira-kira pukul 9 pagi ini.

Mengikut kertas pertuduhan, Shahidan didakwa melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di dalam sebuah kereta jenis Toyota Harrier di tepi jalan pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada pukul 11.30 malam, 20 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman dipenjara tidak lebih 10 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fuad Abdul Aziz sementara tertuduh diwakili oleh barisan peguam bela iaitu Thalia Rohaina Abdul Latiff; Zuhair Ahmad Zakuan dan Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Terdahulu, Shahidan hadir ke mahkamah ditemani isterinya, Datin Seri Shamsiah Mohd. Yassin serta anak mereka.

Pada 12 November tahun lalu, Shahidan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan mencabul seorang gadis bawah umur meskipun keluarga remaja itu sudah menarik balik laporan terhadap Ahli Parlimen Arau itu, sebelum ini.

Shahidan walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selain berharap keadilan dan kebenaran akan dapat ditegakkan dalam kes berkenaan.- UTUSAN ONLINE