Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan dan pembelaan memaklumkan bahawa perbicaraan SRC International melibatkan bekas Perdana Menteri itu masih belum selesai.

Malah, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes tersebut memaklumkan terdapat 12 pernyataan saksi baharu diserahkan kepada pasukan pembelaan.

Di bawah Kanun Prosedur Jenayah, kenyataan saksi hendaklah disampaikan kepada pihak pembelaan selewat-lewatnya 14 hari sebelum perbicaraan, kecuali jika dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Pendakwaan juga memaklumkan pihaknya baharu menyerahkan 15 ikatan dokumen tambahan kepada pihak pembelaan pagi ini.

Dalam pada itu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti semua dokumen dan penyataan saksi.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan Khamis ini untuk pengurusan kes.

Najib, 67, didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan bagi mendapatkan rasuah dan 21 pertuduhan melibatkan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion. - UTUSAN ONLINE