Tertuduh yang berumur 38 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memegang tangan mangsa di dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Puchong, Selangor pada pukul 3.30 petang, 6 April lalu.

Dia turut dituduh melakukan amang seksual terhadap mangsa yang sama di sebuah rumah di Seri Kembangan, Selangor pada pukul 4 petang, tarikh sama.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau sebat, jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norazalina Razali memohon mahkamah untuk tidak mencadangkan sebarang jaminan dan jika mahkamah membenarkan jaminan, beliau memohon hakim menetapkan syarat yang ketat.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Muaz Zafar memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai seorang isteri yang sedang sarat mengandung dan tiga orang anak selain tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah membenarkan tertuduh membayar ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang menghubungi, mendekati atau berjumpa mangsa serta keluarganya selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE.