Mohd. Adam Mohd. Ghazali, bagaimanapun masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan atas kesemua 50 pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen 3 di sini hari ini, tertuduh menghadapi 26 pertuduhan melibatkan lebih 20 mangsa dan dia yang berasal dari Besut didakwa melakukan kesalahan membabitkan kerugian melebihi RM100,000 di beberapa daerah di negeri ini, tiga tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad di hadapan Hakim Azman Mustapha dan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM209,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 7 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh turut diperintah melaporkan diri di Mahkamah Sesyen dua kali sebulan sepanjang perbicaraan bermula Ogos depan.

Sekiranya mengingkari arahan, wang jaminan akan dinaikkan daripada RM6,000 hingga maksimum RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Di Mahkamah Sesyen 1 pula, Mohd. Adam menghadapi 24 pertuduhan menipu yang melibatkan seramai 17 orang mangsa.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M. Lishantini di hadapan Hakim Jamaludin Mat manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd. Hayyatuddin Muhamad dan Che Amir Che Musa.

Mahkamah kemudian menawarkan tertuduh diikat jamin RM240,000 dengan seorang penjamin seterusnya menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, ketika dihadapkan ke Mahkammah Sesyen di sini semalam, tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas 26 pertuduhan menipu lebih 20 mangsa membabitkan jumlah kerugian hampir RM200,000 di beberapa daerah di negeri ini antara Jun hingga Oktober 2016. - UTUSAN ONLINE