Mohd. Hanafi Ismail, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh yang ketika itu merupakan pembantu tadbir di Tapem dan mempunyai kuasa ke atas peruntukan biasiswa pelajar sekolah di Melaka bagi tahun 2017 telah melakukan pecah amanah jenayah dan dengan curangnya menyalahgunakan harta tersebut berjumlah keseluruhan RM2.404 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Unit Kewangan Tapem, Bangunan Kota Cemerlang, Ayer Keroh antara 23 Januari 2017 hingga 22 Disember 2018.

Mohd. Hanafi didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan dan hendaklah dikenakan denda.

Tertuduh diwakili tiga orang peguam iaitu Emirul Sarifudin Nor Azmi; Ahmad Hafiz A. Bakar dan Kenneth Kasa manakala

pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat dan Nik Haslinie Hashim.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM250,000 oleh seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan memerintahkan lelaki itu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai serta menyerahkan passport kepada mahkamah.

Mohd. Nasir kemudian menetapkan tarikh 2 Oktober depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. - UTUSAN ONLINE