Lelaki yang berusia 43 tahun itu yang kini bertugas di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), petang semalam.

Perintah reman sehingga 30 Mac ini dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman selepas suspek itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini.

Pada masa sama, perintah reman terhadap tiga lelaki membabitkan seorang Setiausaha Bahagian KBS serta dua kontraktor turut dilanjutkan selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 30 Mac ini bagi tujuan yang sama.

Selain itu, tiga lagi individu termasuk seorang wanita yang sebelum ini direman dibebaskan oleh mahkamah yang sama masing-ma­sing dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin.

Kesemua mereka sebelum ini direman selama tujuh hari bermula dari 18 Mac lalu.

Media sebelum ini melaporkan, pada tarikh tersebut, SPRM menahan sembilan orang termasuk seorang setiausaha bahagian kementerian itu yang dikatakan menerima suapan dianggar mencecah RM20 juta.

Suspek berusia 56 tahun yang menjadi dalang menggelapkan kira-kira RM100 juta dana kementerian sejak enam tahun lalu ditahan SPRM di rumahnya di Kajang pada Jumaat lalu.

Dalam sidang akhbar Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki pada 19 Mac lalu, beliau dilaporkan berkata, dana itu disalurkan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) dan bayaran dibuat kepada 14 syarikat yang dimiliki kontraktor bagi menjayakan program berkaitan acara sukan.

Beliau juga ketika itu memberitahu, SPRM telah menyita beberapa barangan termasuk 12 kenderaan antaranya Audi, Mercedes-Benz, Nissan GTR dan Toyota Vellfire milik suspek berkenaan.

Antara barang mewah lain yang dibeli dengan dana gelap tersebut ialah jam berjenama Richard Mille (RM400,000), 40 beg tangan berjenama termasuk jenama Hermes (RM400,000), set cadar mewah (RM300,000) dan barang kemas termasuk cincin mutiara Cartier bernilai RM600,000.

Barangan yang disita berjumlah RM20 juta, sementara wang di dalam beberapa akaun bank berjumlah RM8.33 juta dibekukan.