Hakim Abu Bakar Katar memutuskan demikian selepas menolak hukuman penjara yang dipohon pihak pendakwaan terhadap tertuduh, Syahzan Amir Endut, 45.

Dalam penghakimannya, Abu Bakar berkata, mahkamah telah meneliti semua rekod rayuan serta menghalusi penghujahan bertulis dan berpendapat Hakim Mahkamah Sesyen telah menimbangkan prinsip penghukuman secara betul dalam penghakimannya.

“Hukuman penjara yang dipohon oleh pendakwaan tidak sesuai atas fakta kes di hadapan mahkamah sekarang.

“Mahkamah ini menolak rayuan perayu atas hukuman. Hukuman denda RM15,000 dan jika tidak bayar lima bulan penjara yang dijatuhkan atas responden disahkan,” katanya.

Pendakwa raya sebagai perayu diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sophian Zakaria, manakala Syahzan Amir yang dinamakan sebagai responden diwakili peguam, Mohamad Sofee Razak.

Pada 26 September tahun lalu, Syahzan Amir dijatuhkan hukuman denda RM15,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda itu selepas dia didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kulim.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan aplikasi sistem khidmat multimedia (MMS) telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di No. 649, Jalan Persiaran Utama 2/9, Taman Kulim Utama, Kulim kira-kira pukul 12.46 pagi, 28 Mac 2015.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. -UTUSAN ONLINE